Kajian penyelidikan klinikal boleh membantu para penyelidik untuk mengetahui cara baharu bagi membantu mencegah, mengesan, mendiagnosis, atau merawat penyakit, sindrom atau keadaan. Kajian penyelidikan klinikal mungkin merangkumi kajian tentang:
- Ubat penyelidikan atau gabungan ubat-ubat baharu
- Prosedur pembedahan atau peranti baharu
- Cara baharu untuk menggunakan rawatan sedia ada bagi melegakan simptom dan/atau memperlahankan sesuatu penyakit daripada menjadi lebih teruk pada orang yang menghidap penyakit
Apa itu Plasebo?
Sesetengah kajian penyelidikan klinikal ialah kajian dikawal plasebo. Kajian dikawal plasebo bermaksud satu kumpulan pesakit akan menerima ubat penyelidikan, manakala kumpulan kedua, biasanya dikenali sebagai kumpulan kawalan, menerima sesuatu yang dipanggil plasebo.
Plasebo ialah sesuatu yang seakan-akan ubat kajian, tetapi ia tidak mengandungi sebarang ubat aktif. Beberapa peserta mungkin akan ditentukan untuk menerima plasebo. Tidak semua kajian penyelidikan klinikal merupakan kajian dikawal plasebo.
Kenapa Kami Menggunakan Plasebo dalam Percubaan Klinikal?
Plasebo digunakan dalam percubaan klinikal untuk membantu menilai kesan ubat penyelidikan pada peserta. Satu kumpulan diberi plasebo manakala kumpulan lain diberi ubat penyelidikan. Kesan pada kedua-dua kumpulan akan dicatatkan dan dibandingkan untuk mengetahui tindak balas ubat penyelidikan pada peserta kajian. Kumpulan plasebo menyediakan garis dasar yang akan dibandingkan dengan kumpulan rawatan.
Plasebo telah digunakan selama bertahun-tahun dalam penyelidikan klinikal. Sepanjang waktu ini, doktor kajian telah memerhatikan yang sesetengah pesakit mungkin akan mula rasa lebih baik walaupun mereka hanya percaya yang mereka menerima rawatan penyelidikan. Ini dipanggil kesan plasebo dan kesan ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang mengambil bahagian dalam percubaan klinikal.
Plasebo membantu doktor kajian melihat kesan yang dialami pesakit apabila mereka mengambil ubat kajian, bukan disebabkan oleh kesan plasebo tetapi disebabkan oleh rawatan penyelidikan.
Penggunaan plasebo dalam percubaan klinikal penting dalam menentukan sama ada ubat penyelidikan adalah selamat dan berkesan. Semua data yang dikumpulkan dalam percubaan klinikal adalah penting, sekalipun data daripada pesakit yang mengambil plasebo.